PEMANASAN GLOBAL
Saturday, July 24, 2010
Setelah melihat pelbagai jenis kerosakan alam sekitar yang telah terjadi di bumi kita ini, sudah tentu anda tahu kesan yang paling besar yang telah menjadi isu alam sekitar sekarang iaitu pemanasan global. Adakah anda masih belum menyedari perubahan iklim atau suhu yang sedang berlaku pada keliling anda? Sedarkah anda bahawa kepanasan yang anda dapat rasai ketika cuaca panas pada masa kini adalah lebih panas berbanding dengan ketika anda masih kecil? Itu telah menunjukkan suhu bumi telah meningkat! Tetapi, tahukah anda bagaimana perkara ini boleh berlaku?
Hasil kajian daripada pakar-pakar telah membuktikan bahawa suhu bumi yang semakin meningkat ini berpunca daripada pelepasan gas-gas rumah hijau(Greenhouse Gases/GHGs) daripada aktiviti-aktiviti manusia itu sendiri. GHGs yang merupakan penyumbang utama bagi pemanasan global adalah karbon dioksida, metana, nitrus oksida dan fluorin.
Gas yang pertama iaitu Karbon Dioksida (CO2) dilepaskan melalui pembakaran bahan api fosil, sisa pepejal, pokok-pokok dan tindakbalas kimia seperti daripada industri pembuatan simen.
Gas yang kedua iaitu Metana(CH4) pula dilepaskan semasa pengeluaran dan pengangkutan arang, gas asli dan minyak mentah. Metana juga dilepaskan daripada aktiviti penternakan dan pertanian serta pereputan sisa organik di tapak pelupusan sisa pepejal.
Gas yang ketiga, Nitrus Oksida(NO2) juga dibebaskan semasa aktiviti pertanian dan perindustrian serta semasa pembakaran bahan api dan sisa pepejal.
Gas yang terakhir iaitu Gas Fluorin seperti Hidrofluorokarbon, perfluorokarbon dan sulfur heksaflourida merupakan GHGs sintetik yang kuat kerana walaupun gas-gas fluorin ini dibebaskan pada kuantiti yang kecil, kesannya adalah amat kuat sehingga gas-gas ini dikenali sebagai gas berpotensi tinggi untuk menyebabkan pemanasan global. Gas-gas ini dijadikan pengganti bahan penipisan ozon seperti CFCs, HCFCs dan halon.
Seperti yang anda lihat, gas-gas yang telah membawa kepada pemanasan global ini telah datang daripada manusia dan juga secara semulajadi. Sekiranya kejadian yang semulajadi itu tidak dapat dielakkan, kita seharusnya bertindak mengurangkan aktiviti-aktiviti manusia tersebut. Jika perkara ini diteruskan, terdapat pelbagai kesan-kesan yang bakal berlaku kepada dunia ini dan apabila sudah terlambat, kita tidak mampu lagi mengelakkan diri daripada kesan tersebut. Walaubagaimanapun, kesan pemanasan global pada masa kini sudah dianggap teruk tetapi masih ramai lagi yang tidak memandang berat tentang isu ini. Kesan-kesan ketara yang membuktikan betapa seriusnya pemanasan global ini adalah:
1. Kecairan pada Kutub Utara dan SelatanKejadian ini sudah menjadi percakapan orang ramai kerana sudah dianggap kejadian serius kerana kita bakal melihat seluruh ais di atas bumi ini semakin mencair. Ais di Greenland telah cair sehingga mencapai 19 juta tan. Manakala ais di Artik pada musim panas 2007 telah mencair sehingga tinggal setengah dari yang ada pada 4 tahun sebelumnya. Hal ini telah dianggap serius kerana kejadian ini adalah jauh berbeza daripada ramalan awal yang telah dibuat pengkaji-pengkaji dahulu. Sebelum ini, peramal telah mengjangkakan bahawa seluruh ais di kutub akan lenyap pada tahun 2040 sehingga tahun 2100 tetapi setelah melihat data tahunan sehingga tahun 2007, peramal terpaksa membuat ramalan yang baru berdasarkan fakta tersebut.
Pada awal 2008, sebuah bongkahan ais seluas 414 kilometer persegi di Antartika telah runtuh.

Ketua pengkaji NSIDC Ted Scambos mengatakan bahawa perkara ini berlaku akibat daripada pemanasan global. Menurut Scambos, bongkahan ais tersebut amat sukar untuk diruntuhkan namun setelah perpecahan itu telah berlaku, sisa bongkahan yang tertinggal adalah sebanyak 12.950 kilometer persegi, ditambah 5.6 kilometer kepingan ais yang berdekatan. Beliau menambahkan lagi, "Sedikit lagi, bongkahan ais yang terakhir ini akan tercair habis dan separuh daripada jumlah kawasan ais tersebut akan lenyap dalam beberapa tahun yang akan datang".
2. Peningkatan Aras LautKecairan ais pada kutub utara dan kutub selatan secara langsung telah memberi kesan terhadap kenaikan aras laut.

Aras laut di seluruh dunia telah meningkat sebanyak 10-25 cm(4-10 inci) selama abad ke-20 dan para pengkaji IPCC menjangkakan bahawa akan berlaku peningkatan lagi sebanyak 9-88 cm(4-35 inci) pada abad ke-21. Sekiranya perkara in berterusan, sebanyak 100 cm(40 inci) mampu menenggelamkan 6% daripada daerah Belanda, 17.5% daerah Bangladesh dan banyak lagi pulau-pulau. Ditambahkan lagi, apabila aras laut mencapai muara sungai, banjir akibat daripada air pasang akan mudah berlaku. Perbelanjaan kerajaan bagi setiap negara akan meningkat kerana perlu dihabiskan bagi melindungi pantai-pantai pada negara masing-masing.
3. Suhu Global Meningkat Secara MendadakPada tahun 2007, rekod baru telah dipecah bagi suhu yang telah dicapai akibat daripada gelombang panas yang biasa melanda Amerika Syarikat. Daerah St. George, Utah telah memegang rekod tertinggi dengan suhu tertinggi iaitu sebanyak 48 darjah Selsius. Las Vegas dan Nevada juga telah mencapai 47 darjah Selsius, serta beberapa kota lain di Amerika Serikat yang juga tidak terlepas daripada bahang panas setinggi 40 darjah Selsius. Daerah Death Valley di California juga tidak terkecuali dengan mencatat suhu sebanyak 53 darjah Selsius. Peningkatan suhu pada ketika itu telah menyebabkan kematian manusia akibat kepanasan, kematian ratusan ikan air tawar, kerosakan hasil pertanian, peningkatan kebakaran hutan yang melampau serta kematian haiwan-haiwan ternakan.


Pada tahun 2003 juga pernah berlaku satu serangan gelombang panas pada daerah Eropah Selatan yang telah mengakibatkan lebih kurang 35,000 orang meninggal dunia dan kematian tertinggi adalah dari Perancis iaitu sebanyak 14, 802 orang. Hal ini berlaku akibat daripada ketidaksedaran masyarakat serta pemimpin pada ketika itu terhadap peningkatan suhu yang sedang berlaku.
Walaubagaimanapun, masih terdapat negara-negara yang bernasib baik kerana tidak mengalami kesan yang teruk akibat daripada peningkatan suhu ini. Namun begitu, ramai yang telah menyedari bahawa suhu di bumi ini semakin meningkat dengan melampau sehingga tidak ramai yang berani mendedahkan diri pada matahari seperti dahulu. Hal ini adalah disebabkan pendedahan kepada matahari pada masa kini boleh membawa kepada penyakit-penyakit yang merbahaya seperti kanser kulit serta strok panas yang boleh membawa kepada kematian.
4. Gangguan EkologisHaiwan dan tumbuhan telah pun menjadi "mangsa" kepada masalah pemanasan global ini yang asalnya datang daripada ketamakan manusia. Akibat daripada cuaca panas yang melampau, banyak haiwan yang akan mula berpindah ke habitat yang mempunyai suhu yang lebih sesuai dan tumbuhan juga akan mengubah arah pertumbuhan atau akan mati kelayuan. Namun begitu, akibat daripada kemajuan dunia ini, populasi manusia yang semakin bertambah menghalang perpindahan haiwan-haiwan ini dan sejurus hanya membawa kepada kepupusan.
Satu kejadian di Australia telah membuktikan haiwan turut mengalami kesan pemanasan global. Terdapat beberapa koala yang mula meminta air daripada manusia akibat daripada cuaca yang terlalu panas.
.jpeg)



Dapatkah anda melihat kesannya sekarang? Manusia perlu sedar dan mengambil berat tentang isu ini sekarang atau kita akan mula melihat seluruh hidupan di dunia ini bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan air dan semestinya manusia itu sendiri tidak terkecuali.

"Bertindak sebelum terlambat". Terdapat banyak lagi kesan-kesan pemasan global namun perkara yang lebih penting adalah langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh manusia di bumi ini bagi menghalang masalah ini daripada menjadi lebih teruk.
Pengurangan penggunaan gas rumah hijau merupakan satu langkah besar tetapi hanya memerlukan usaha yang mudah dan kecil sahaja untuk dijayakan. Langkah-langkah yang seharusnya dilakukan bagi menghadapi pemanasan global ini ialah:
1. Penjimatan Energi/Kuasa elektrikPengguna boleh mengurangkan penggunaan elektrik yang berlebihan ketika tidak memerlukannya dan malahan boleh menggalakkan penggunaan barang elektrik yang tidak memerlukan kuasa elektrik yang tinggi.
Terdapat satu kempen global yang telah diusahakan oleh
World Wide Fund(WWF) yang merupakan salah satu contoh terbaik untuk menjimatkan elektrik. Kempen ini yang mula-mulanya dijalankan di Sydney, Australia pada tahun 2007 mendapat sambutan baik oleh penduduk dan kini diamalkan oleh beberapa negara lain termasuk Malaysia. Kempen yang dinamakan "Earth Hour" ini dijalankan setiap tahun dengan hanya meminta semua pengguna tidak kira di rumah atau pejabat, menutup lampu serta menghentikan penggunaan kuasa elektrik selama 1 jam. Salah satu tujuan utama kempen ini adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang perubahan yang sedang berlaku di bumi ini.
2. Penjimatan AirSalah satu langkah mudah untuk menjimat air yang terlibat dalam kehidupan seharian kita ialah mematikan air ketika menggosok gigi. Selain itu, bekas air cucian atau air hujan pula boleh digunakan untuk mengganti air biasa bagi menyiram tanaman. Sekiranya terdapat sebarang kebocoran paip, pembaikan harus dilakukan segera bagi mengelakkan daripada pembaziran air. Sebenarnya penjimatan air sepatutnya sudah menjadi perkara yang umum bagi semua orang sebelum berlakunya lagi pemanasan global namun manusia kini mula mengambil ringan tentang kekurangan sumber air yang semakin meningkat di dunia ini. Kemungkinan penggunaan air yang berlebihan pada masa kini akan menyebabkan kekurangan air pada masa akan datang dan pada ketika itu, anak-anak kita pada masa hadapanlah yang akan menjadi mangsa.
3. Mengurangkan penggunaan CFC
Gas CFC merupakan salah satu penyumbang utama kepada gas-gas rumah hijau yang akan menyebabkan berlakunya penipisan lapisan ozon bumi dan secara langsung membawa kepada pemanasan global. Gas CFC dilepaskan daripada sesetengah peti sejuk dan penghawa dingin serta penyembur serangga yang sering digunakan manusia pada masa kini. Pada zaman moden ini, penggunaan barang-barang ini sudah boleh dikurangkan dengan memindahkan penggunaannya kepada barang-barang yang lebih mesra alam
(eco-friendly). Teknologi yang maju akan dapat membantu manusia menggunakan barang yang memberi faedah kepada mereka serta dapat melindungi alam sekitar.
4. Mengurangkan pengumpulan sampah di duniaPrinsip 3 R iaitu
(Reduce, Reuse, Recycle) sudah pun dijadikan amalan bagi sesetengah penduduk di dunia ini. Namun begitu, masih ramai yang tidak sedar kepentingan prinsip ini. Penggunaan barang lama dan pengamalan kitar semula dapat mengurangkan pembaziran sumber-sumber penting di bumi ini seperti pokok yang merupakan salah satu sumber alam yang terpenting di dunia. Selain itu, satu kempen yang sudah mula diamalkan sekarang iaitu mengurangkan penggunaan beg plastik memberi sumbangan yang besar bagi mengurangkan jumlah sampah yang banyak di dunia ini. Hal ini kerana plastik merupakan salah satu sampah yang paling sukar dimusnahkan sehingga menyebabkan timbunan sampah bertambah setiap tahun. Oleh itu, jadilah salah seorang pengguna yang berhemat dengan membawa beg plastik sendiri ketika membeli barang-barang harian.
Terdapat banyak lagi langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh kita semua bagi melindungi dunia kita ini. Malahan, seorang manusia mampu memberi pelbagai sumbangan dengan melakukan perkara-perkara yang kecil sahaja. Sekrianya semua dapat bergabung menggalakkan diri untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pengguna bumi ini, tidak mustahil isu pemanasan global ini dapat diakhirkan.
Kesimpulannya, masih belum terlambat untuk kita semua sama-sama menghadapi masalah ini dan menghalang masalah ini daripada menjadi lebih buruk serta mencari jalan penyelesaian baru kerana setiap seorang daripada kita merupakan pengguna bumi ini dan sepatutnya kita jugalah yang menjaganya bersama.
Disediakan oleh,Wee Vian Sherlene(205858)
$BlogItemBody$>